Ekor putus, badan cedera diserang harimau: Jelita diselamatkan PERHILITAN
Jelita dipercayai terpisah daripada kumpulannya sebelum ditemui dalam keadaan cedera di Jeli, Kelantan.


Lebih menyayat hati, ekor Jelita turut terputus dipercayai akibat serangan harimau
Dalam usia baru empat hingga lima tahun, anak gajah liar betina yang dinamakan Jelita sudah melalui pengalaman getir selepas dipercayai diserang harimau belang hingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Lebih menyayat hati, ekor Jelita turut terputus dipercayai akibat serangan berkenaan.
Jelita dipercayai terpisah daripada kumpulannya sebelum ditemui dalam keadaan cedera di Jeli, Kelantan.
Keadaan itu mencetuskan usaha menyelamat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi PERHILITAN Kelantan bersama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

Menerusi Facebook Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, pada 18 September lalu, Jelita berjaya dipindahkan dengan selamat ke PKGK Kuala Gandah, Pahang untuk menerima rawatan dan pemantauan rapi.
Kini, anak gajah itu berada di bawah penjagaan pegawai veterinar serta mahut berpengalaman bagi memastikan kesihatannya stabil dan proses pemulihan dapat berjalan dengan baik.


Kisah Jelita turut memperlihatkan bagaimana tindakan pantas komuniti setempat mampu menjadi penyelamat kepada hidupan liar yang berada dalam keadaan kritikal.
PERHILITAN merakamkan penghargaan kepada komuniti Kampung Lata Janggut, Jeli yang segera menyalurkan maklumat mengenai penemuan Jelita.
Daripada terbiar dalam keadaan cedera di habitatnya, Jelita kini mendapat peluang kedua untuk terus hidup di bawah penjagaan pasukan konservasi.
PERHILITAN turut menyeru masyarakat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui hidupan liar yang cedera, terperangkap atau memerlukan bantuan.
Setiap laporan boleh menjadi titik mula kepada satu lagi nyawa untuk diselamatkan.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG
Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

Pierce Brosnan dinobatkan James Bond paling kacak, Robert Pattinson di tempat kelima
Oleh The Step21 November 2026 pada 02:57 PTG

