Dakwaan Greenpeace: KPK, MPOB pantau enam syarikat perladangan Malaysia
Berhubung laporan yang mengaitkan PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), KPK mengambil maklum penjelasan rasmi KLK bertarikh 6 Oktober.

Kementerian Perladangan dan Komoditi.
KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengadakan sesi libat urus dengan enam syarikat Malaysia yang dikaitkan dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Menurut KPK, sesi tersebut yang diadakan pada 10 September lalu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai situasi kebakaran serta langkah pencegahan dan pengawalan di kawasan operasi masing-masing.
Katanya, maklum balas berkala turut diperoleh bagi mengikuti perkembangan semasa.
"Kita memandang serius laporan Greenpeace dan Pantau Gambut yang mengaitkan syarikat perladangan Malaysia dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah di Indonesia, serta kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
"Berhubung laporan yang mengaitkan PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), KPK mengambil maklum penjelasan rasmi KLK bertarikh 6 Oktober.
"Menurut KLK, PT MJSP mengamalkan dasar sifar pembakaran dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula. KLK turut menyatakan bahawa majoriti kebakaran yang berlaku berasal dari luar kawasan konsesi," jelasnya dalam kenyataan.
KPK memberitahu, KLK turut memaklumkan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran yang telah dilaksanakan.
Jelasnya, melalui MPOB juga, KPK akan terus mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat Malaysia yang beroperasi di Kalimantan.
Pihaknya menegaskan bahawa syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara hendaklah mematuhi undang-undang negara berkenaan serta melaksanakan pencegahan dan pengawalan kebakaran secara berkesan, termasuk menangani risiko api merebak dari kawasan sekitar.
"KPK akan meneliti cadangan memperkukuh kerjasama dengan Indonesia melalui saluran yang bersesuaian, termasuk Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
"Kerjasama ini boleh merangkumi perkongsian maklumat serta usaha pencegahan dan pengawalan kebakaran.
"Kementerian komited memastikan industri sawit beroperasi secara mampan dan bertanggungjawab, dengan perlindungan kesihatan awam serta alam sekitar sebagai keutamaan," jelasnya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


