Bungkusan mencurigakan ditinggal, dihantar ke sekolah, polis dapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
POLIS mengesahkan telah menerima sembilan laporan polis berhubung penemuan bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan atau dihantar ke beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lima laporan diterima di daerah Nilai dan empat lagi di Tampin.
Hasil siasatan awal jelasnya, mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.
"Bungkusan tersebut dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis setelah penerima yang tertera pada bungkusan tidak hadir untuk mengambilnya.
"Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah mengambil langkah keselamatan sewajarnya dengan mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan menyelamat terhadap bungkusan berkenaan," jelasnya dalam kenyataan.
Alzafny berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan.
Jelasnya, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan lanjut dan bungkusan berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
"Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan tersebut serta menentukan motif sebenar kejadian.
"Pihak polis menasihatkan pihak pengurusan sekolah dan orang ramai supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalihkan sebarang bungkusan mencurigakan yang tidak diketahui pemilik atau asal usulnya," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


