713 kandungan pemalsuan imej pemimpin politik diturunkan
Dari segi bidang kuasa, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, scam dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat dan elemen kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan yang berkaitan.


Fahmi Fadzil.
SEBANYAK 713 kandungan pemalsuan imej (deepfake) melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan, bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September lalu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, tindakan penurunan oleh pemberi perkhidmatan itu dibuat berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
Jelasnya, bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.
"Sebagai contoh, Seksyen 233 Akta 588 menetapkan elemen perlakuan dan niat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perbuatan boleh dianggap sebagai kesalahan.
"Pindaan kepada seksyen tersebut turut disertakan dengan huraian setiap elemen kandungan, termasuk apa yang dimaksudkan sebagai kandungan palsu, lucah, sumbang, mengancam dan jelik melampau," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake melibatkan pemimpin parti politik sepanjang tahun 2025-2026.
Fahmi memberitahu, dari segi bidang kuasa, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, scam dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat dan elemen kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Katanya, bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].
Menurut beliau, dalam kes yang melibatkan tindakan pendakwaan, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian, dan pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Kes yang didakwa pula katanya, tertakluk kepada proses perbicaraan di mahkamah, dengan tertuduh diberikan hak untuk mengemukakan pembelaan sebelum keputusan dibuat.
"Struktur ini mewujudkan mekanisme kawal selia yang menyeluruh, serta memastikan setiap tindakan diambil secara telus, adil dan saksama serta berlandaskan lunas undang-undang.
"Bagi memastikan MCMC bertindak adil, bebas tanpa sebarang tekanan luaran, terdapat juga mekanisme semak dan imbang di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh MCMC.
"Antaranya, pihak yang terkilan boleh membuat rayuan terhadap tindakan dan keputusan MCMC di Tribunal Rayuan yang diwujudkan di bawah Akta 588 dan Akta 866 dan seterusnya membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi jika tidak puas hati terhadap keputusan Tribunal Rayuan," katanya.
Tambah beliau, mekanisme ini membantu memastikan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan MCMC dilaksanakan berdasarkan undang-undang, fakta dan bukti serta tertakluk kepada proses semakan yang sewajarnya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


