The Step - Every Story Moves You

5 pegawai TUDM ditahan disyaki edar dadah: Operasi pemeriksaan dalaman dipergiat

Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram.

TS
Oleh The StepPengarang Berita19 November 2026 pada 11:08 PTG2 min bacaanDikemas kini 20 November 2026 pada 09:11 PG
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) akan mempergiat operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.

Demikian ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin susulan insiden penemuan dadah di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berkala melaksanakan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi sentiasa bebas daripada kegiatan dadah.

Penemuan kali ini katanya, merupakan yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

"Kejadian dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.

"Pemeriksaan tersebut menemukan lima buah bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan," jelasnya.

Mohamed Khaled berkata, penemuan itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM yang kemudiannya menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Jelas beliau, kira-kira pukul 5.20 petang hari yang sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.

Katanya, kesemua lima bagasi dan sebuah kotak telah disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat telah ditahan oleh PDRM.

"TUDM telah mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes ini kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

"Kementerian Pertahanan sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan (transparency) dan akauntabiliti dalam setiap tindakan, termasuk dalam pengendalian kes ini," katanya.

Terdahulu lima pegawai TUDM antara 11 individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah menggunakan aset tentera, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka ditahan, kelmarin, menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan.

Jelas beliau, operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com