The Step - Every Story Moves You

4,289 kes salah laku buli direkod dari Mac hingga Ogos lalu

Angka ini menunjukkan bahawa usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step14 Oktober 2026 pada 08:29 PG2 min bacaanDikemas kini 14 Oktober 2026 pada 12:16 PTG
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

SEBANYAK 4,289 kes salah laku buli direkodkan bagi tempoh Mac hingga Ogos tahun ini, termasuk kes yang berlaku di asrama.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,480 kes melibatkan buli fizikal, 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

"Angka ini menunjukkan bahawa usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

"Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap kejadian buli yang melibatkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama.

"Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa.

Fadhlina memberitahu, bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan terutamanya dari dari aspek pemantauan fizikal.

KPM katanya, telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah berasrama pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Pada tahun ini jelasnya, inisiatif tersebut diteruskan melalui pemasangan CCTV di 333 buah sekolah berasrama dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

"Bagi Fasa 3 pada tahun 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 buah sekolah di seluruh negara.

"Dari aspek pengawasan dan kebajikan murid, seramai 300 Personel MySTEP Pembantu Warden Asrama (MyPWA) telah ditempatkan di sekolah berasrama mulai 1 April lalu.

"Mereka membantu lebih 10,000 warden sedia ada dalam aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, khususnya bagi memperkukuh pengawasan pada waktu malam," katanya.

Beliau menambah, KPM juga telah melaksanakan Audit Keselamatan Asrama yang melibatkan 850 buah sekolah.

Pada tahun ini katanya, usaha tersebut diteruskan melalui Tinjauan Keselamatan dan Kesejahteraan Murid (TKKM) serta Bimbingan In-Situ: Keselamatan dan Kesejahteraan Murid (BKKM).

"Langkah ini bertujuan mengenal pasti keperluan penambahbaikan di peringkat sekolah dan memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat dilaksanakan.

"Dalam hal ini, pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata. Pengawasan oleh warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan juga merupakan komponen penting dalam memastikan persekitaran asrama yang selamat," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com