284 lokasi hotspot banjir kilat berjaya diselesaikan
Perkembangan tersebut menunjukkan pengurangan bersih sebanyak 21 lokasi hotspot banjir kilat, selepas 284 lokasi berjaya ditangani dan dikeluarkan daripada senarai kawasan berisiko.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
SEBANYAK 284 lokasi hotspot banjir kilat berjaya ditangani dan dikeluarkan daripada senarai kawasan berisiko banjir, dalam tempoh tiga tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan rekod Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) setakat 7 Oktober, sebanyak 1,445 lokasi hotspot banjir kilat direkodkan di seluruh negara, berbanding 1,466 lokasi pada Januari.
Perkembangan tersebut jelasnya, menunjukkan pengurangan bersih sebanyak 21 lokasi hotspot banjir kilat, selepas 284 lokasi berjaya ditangani dan dikeluarkan daripada senarai kawasan berisiko.
"Sebanyak 263 lokasi hotspot baharu dikenal pasti untuk tindakan intervensi segera," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Penyelarasan Pelan Induk Nasional Kawasan Tumpuan Banjir antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya.
Mesyuarat tersebut memfokuskan kepada memperkukuh kerjasama rentas kementerian bagi menyelaras pengurusan 1,445 kawasan tumpuan (hotspot) banjir kilat di seluruh negara.

Menurut Kor Ming, usaha berkenaan merupakan tindakan susulan kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September lalu yang menetapkan penyediaan satu pelan induk nasional merangkumi kawasan bandar, luar bandar dan perkampungan.
Katanya, isu banjir tidak boleh diselesaikan oleh satu kementerian atau jabatan secara bersendirian.
"Kita memerlukan pendekatan bersepadu, berpandukan data yang tepat, dengan tanggungjawab yang jelas serta tindakan yang boleh dilaksanakan di lapangan.
"Pelan tindakan yang dirangka akan memberi tumpuan kepada tiga fasa utama, iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang secara berfasa bermula serta-merta sehinga Oktober tahun hadapan, sepanjang 12 bulan," katanya.
Bagi jangka pendek jelasnya, tindakan akan merangkumi pembersihan saliran, penyingkiran kelodak dan halangan, serta pemeriksaan kolam takungan, rumah pam dan pintu air bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya menjelang Monsun Timur Laut.
Katanya, untuk jangka sederhana, penekanan akan diberikan kepada kerja naik taraf sistem saliran dan penyelesaian titik sempit aliran air berdasarkan penilaian teknikal.
"Tindakan jangka panjang pula melibatkan penyelesaian pada skala sistem saliran dan lembangan, termasuk perancangan infrastruktur yang mengambil kira perubahan guna tanah, pembangunan masa hadapan serta peningkatan risiko hujan ekstrem.
"Pelan induk nasional ini diharap dapat memperkukuh usaha pencegahan dan pengurangan risiko bencana banjir, di samping meningkatkan kesiapsiagaan serta menyokong mekanisme amaran awal demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


