1MDB: Kerajaan tanggung baki obligasi RM20.1 bilion
Setakat 31 Ogos juga, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi menampung komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi.

KERAJAAN masih perlu menanggung baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan dana tambahan pada masa hadapan.
Demikian dijelaskan Kementerian Kewangan (MoF) berkaitan aktiviti pemulihan terbesar pada masa ini melibatkan 1MDB, setakat 31 Ogos lalu, di mana kerajaan berjaya mendapatkan semula dana pemulihan aset berjumlah RM31.3 bilion.
Menurutnya, kesemua dana yang dipulihkan diuruskan melalui Akaun Amanah di bawah seliaan Kementerian Kewangan.
"Dana tersebut dikreditkan ke dalam akaun berkenaan dan dikhususkan untuk melunaskan obligasi hutang serta komitmen berkaitan 1MDB sahaja.
"Pengurusan melalui akaun khusus ini membolehkan penerimaan dan penggunaan dana dipantau dengan jelas dan telus," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah penambahbaikan yang diambil oleh kementerian berikutan Laporan Audit Negara berkenaan ketirisan dana awam serta status terkini pemulihan aset-aset negara yang berkaitan dengan skandal kewangan besar dan bagaimana dana yang dipulihkan itu diuruskan semula.
MoF menambah, setakat 31 Ogos juga, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi menampung komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi.
Oleh yang demikian jelasnya, kerajaan akan terus mengambil tindakan perundangan dan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memaksimumkan pemulihan baki aset 1MDB yang diseleweng.
"Usaha ini penting untuk mengurangkan beban kewangan negara dan memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara," katanya.
Berhubung dengan skandal SRC International Sdn. Bhd. katanya, kerajaan telah menanggung bayaran kira-kira RM5.35 bilion bagi memenuhi obligasi syarikat kepada KWAP yang berjumlah RM5.66 bilion, manakala baki pembayaran sebanyak RM310 juta telah ditampung melalui sumber dalaman SRC.
Jelasnya, penyelesaian terakhir bagi obligasi tersebut telah dibuat pada 28 Mac 2022.
"Bayaran oleh kerajaan dibuat berikutan pinjaman SRC kepada KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
"Apabila SRC tidak dapat memenuhi sepenuhnya obligasi pembayarannya, kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjamin bagi memastikan obligasi kepada KWAP diselesaikan," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


