199 kes jenayah libatkan pelarian Rohingya direkodkan
Daripada 199 kes itu, 52 kes direkodkan pada 2022 diikuti 43 kes (2023), 37 kes (2024), 29 kes (2025) dan sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 38 kes telah direkodkan.

Kementerian Dalam Negeri.
SEBANYAK 199 kes kesalahan jenayah indeks direkodkan polis melibatkan pelarian Rohingya di negara ini, mengikut statistik dari 2022 hingga Ogos tahun ini.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pengukuran jenayah indeks mengambil kira jenayah yang kerap dilaporkan dan mempunyai petanda mustahak sebagai petunjuk kepada tahap jenayah di sesuatu tempat.
Jelasnya, daripada 199 kes itu, 52 kes direkodkan pada 2022 diikuti 43 kes (2023), 37 kes (2024), 29 kes (2025) dan sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 38 kes telah direkodkan.
"Selangor mencatatkan jumlah kesalahan jenayah melibatkan pelarian Rohingya dengan 58 kes, selebihnya Kedah (26 kes), Johor (24 kes), Kuala Lumpur (22 kes) selain masing-masing 13 kes di Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan.
"Sebanyak 12 kes direkodkan di Perak dan Terengganu diikuti empat kes di Melaka dan dua kes di Negeri Sembilan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah kesalahan jenayah melibatkan pelarian Rohingya di negara ini.
Kementerian itu menambah, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka diwujudkan untuk mengurus dan menangani semua golongan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia secara menyeluruh dan bukan hanya dikhususkan kepada etnik Rohingya semata-mata.
Arahan tersebut katanya, menetapkan garis panduan, fungsi serta peranan pelbagai kementerian dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.
Jelasnya, di bawah kerangka Arahan MKN No. 23, kerajaan telah memperkukuh kawalan serta pemantauan terhadap seluruh komuniti pelarian termasuk etnik Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
"Program DPP ini berfungsi sebagai instrumen utama kerajaan untuk mengambil alih dan memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat dan bebas daripada kebergantungan penuh kepada UNHCR.
"Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) telah bermula pada 1 Januari 2026. KDN berperanan menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, melaksanakan tapisan keselamatan, menjalankan proses penentuan status dan menentu sahkan status migran yang memohon pelindungan sementara di negara ini," katanya.
KDN memberitahu, proses tersebut dilaksanakan ke atas migran pemegang dokumen UNHCR dan yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
Katanya, Fasa 1 program DPP dilaksanakan dengan tumpuan kepada tahanan majoriti warganegara Myanmar etnik Rohingya di Depot Tahanan Imigresen seluruh Semenanjung.
"Jumlah keseluruhan tahanan yang telah didatakan adalah seramai 4,010 orang yang merangkumi 4,008 warganegara Myanmar serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria.
"Jumlah ini merangkumi seramai 2,746 orang tahanan lelaki dewasa, 632 orang tahanan perempuan dewasa, 392 orang kanak-kanak lelaki dan 240 orang kanak-kanak perempuan.
"Individu dewasa pula akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS), Bidor Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP)," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


