19,785 kes keganasan rumah tangga direkodkan
PDRM turut merekodkan 42 kes mangsa berulang pada 2024, 154 kes (2025) dan 44 kes sehingga Ogos 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
SEBANYAK 19,785 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi tempoh 2024 sehingga Ogos tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 7,116 kes dicatatkan pada 2024 dan meningkat kepada 7,391 kes pada tahun lalu.
Untuk tempoh tahun ini sehingga Ogos lalu pula, sebanyak 5,278 kes direkodkan.
Jelas Nancy, PDRM turut merekodkan 42 kes mangsa berulang pada 2024, 154 kes (2025) dan 44 kes sehingga Ogos 2026.
"Pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga termasuk pengeluaran Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dalam tempoh dua jam bagi kes yang memerlukan perlindungan segera.
"JKM turut membantu mangsa mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) daripada mahkamah serta menyediakan penempatan sementara di tempat selamat," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai jumlah mangsa keganasan rumah tangga bagi tahun 2024, 2025 dan 2026 termasuk jumlah mangsa berulang.
Nancy memberitahu, dari aspek keberkesanan intervensi, JKM melaksanakan pemantauan serta merekodkan pengurusan tindakan intervensi berdasarkan keperluan dan keadaan setiap kes.
Selain itu katanya, JKM turut menyediakan intervensi psikososial yang merangkumi sesi kaunseling individu dan keluarga serta sokongan emosi.
"Pendekatan intervensi dilaksanakan secara bersesuaian dengan keperluan dan keadaan setiap mangsa bagi memastikan aspek keselamatan, perlindungan, pemulihan dan sokongan dapat diberikan secara menyeluruh dan berkesan.
"Pada masa yang sama, pihak kementerian turut menyediakan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu," katanya.
Tambah beliau, talian bebas tol itu membolehkan masyarakat mengemukakan aduan, pertanyaan, atau permohonan bantuan berkaitan pelbagai isu sosial, termasuk keganasan rumah tangga.
Jelasnya, setiap aduan yang diterima akan direkodkan dan segera dirujuk kepada agensi berkaitan mengikut jenis dan keperluan kes untuk tindakan lanjut.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


