The Step - Every Story Moves You

133,400 etnik Rohingya didaftarkan sebagai pelarian, pemohon suaka di Malaysia

Mengenai cara kemasukan, antara modus operandi yang dikenal pasti melibatkan kemasukan secara tidak sah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

TS
Oleh The StepPengarang Berita17 November 2026 pada 05:08 PTG2 min bacaanDikemas kini 17 November 2026 pada 07:19 PTG
Etnik Rohingya yang ditahan di Malaysia.

Etnik Rohingya yang ditahan di Malaysia. PDRM

SERAMAI 133,400 orang etnik Rohingya telah didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka, berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga 30 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen sehingga 31 Oktober lalu, seramai 6,294 orang etnik Rohingya direkodkan berada dalam tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh negara, daripada keseluruhan 11,208 orang tahanan warganegara Myanmar.

Berhubung dengan penghantaran pulang jelasnya, pelaksanaan penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi melaksanakan proses pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan serta pengeluaran dokumen perjalanan yang diperlukan.

"Khusus bagi warganegara Myanmar, sehingga 31 Oktober ini, seramai 12,176 orang telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini, termasuk 1,476 orang tahanan warganegara Myanmar yang telah dihantar pulang pada 29 September melalui operasi penghantaran pulang secara berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

"Walau bagaimanapun, rekod penghantaran pulang tersebut adalah berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya etnik.

'Oleh itu, angka berkenaan tidak merujuk secara khusus kepada jumlah etnik Rohingya yang telah dihantar pulang," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai bilangan terkini pelarian Rohingya di Malaysia, bilangan yang telah dihantar pulang ke Myanmar pada tahun ini, cara mereka memasuki Malaysia serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap punca berlakunya kelemahan yang membolehkan kemasukan tersebut.

Saifuddin berkata, dalam hubungan ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus bekerjasama erat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam melaksanakan rundingan serta penyelarasan dengan Kerajaan Myanmar, khususnya bagi mempercepat proses pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula warganegara Myanmar oleh negara asal.

Kerjasama itu katanya, penting bagi memastikan pelaksanaan penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara selamat, tersusun dan bertanggungjawab, selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

Katanya, mengenai cara kemasukan, antara modus operandi yang dikenal pasti melibatkan kemasukan secara tidak sah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

"Pergerakan tersebut melibatkan rangkaian sindiket penyeludupan migran peringkat serantau yang mengatur perjalanan merentas sempadan daripada Myanmar atau Bangladesh, termasuk melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia.

"Walau bagaimanapun, laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod oleh pihak berkuasa.

"Dari aspek tanggungjawab kawalan sempadan negara, pelaksanaannya melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa serta kawasan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com