EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Hiburan

Zara Zya, Izzue Islam dan MK K-Clique terperangkap dalam cinta, perkahwinan toksik

Menampilkan Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy

Deel Anjer20 September 2026 pada 08:24 PTGDikemas kini 20 September 2026 pada 08:29 PTG
Menampilkan Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy

Menampilkan Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy

Bukan sekadar kisah cinta tiga segi, drama terbaharu iQIYI, Sekali Lagi Bahagia mengangkat kisah seorang wanita yang berusaha membina semula kehidupannya selepas terperangkap dalam perkahwinan yang menyakitkan.

Menampilkan Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy, drama terbitan Orange Tree itu mengetengahkan realiti kehidupan yang dekat dengan masyarakat termasuk perceraian, stigma terhadap ibu tunggal, hubungan toksik serta perebutan hak penjagaan anak.

Lebih daripada mencari cinta baharu, kisah Ekin memperlihatkan perjuangannya mendapatkan semula suara, maruah dan identiti diri selepas sekian lama hidup sebagai seorang suri rumah yang seolah-olah tidak mempunyai kehidupan sendiri.

Apabila sumber kewangannya disekat selepas perceraian, Ekin terpaksa bermula dari kosong sebelum perlahan-lahan membina kehidupan sebagai wanita berdikari dan seorang usahawan.

Menurut pengarahnya, Jamal Khan, Sekali Lagi Bahagia bukan sebuah karya klise yang hanya memaparkan konflik kekeluargaan.

Sebaliknya, naskhah berkenaan turut mengangkat persoalan mengenai kesilapan manusia, proses belajar daripadanya serta pilihan yang dibuat untuk memperbaiki kehidupan.

“Sekali Lagi Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya,” katanya.

Tambah Jamal, biarpun membawa isu berat, drama itu masih diselitkan dengan elemen cinta, humor dan sisi kemanusiaan bagi memastikan jalan ceritanya dekat dengan penonton.

Menerusi watak Ekin, penonton turut dibawa melihat realiti keibubapaan bersama bekas pasangan yang toksik, termasuk kesan trauma orang dewasa terhadap seorang anak.

Dalam pada itu, kehadiran Han sebagai individu yang lebih muda turut mencetuskan persoalan baharu dalam kehidupan Ekin.

Selepas melalui perkahwinan yang membuatkannya kehilangan diri sendiri, adakah Ekin masih berhak memilih kebahagiaannya sendiri?

Malah, apabila cinta hadir daripada seseorang yang lebih muda, adakah ia akan dilihat sebagai peluang kedua untuk seorang wanita atau menjadi alasan baharu untuk masyarakat menghukumnya?

Sekali Lagi Bahagia akan mula ditayangkan pada 21 September iji menerusi iQIYI dengan 12 episod.

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan