‘Terima kasih ya Zarif, kayuh beca bawa Kak Siti’ - Siti Nurhaliza
Zarif menyifatkan Kurik Kundi bukan sekadar lagu yang indah dari segi melodi, malah sarat dengan makna tentang bahasa Melayu, budaya dan ketinggian budi masyarakat.


Zarif Ghazzi menyifatkan peluang bekerjasama dengan Biduanita Negara, pada Konsert Tradisional Gema Bumantara sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
PELAKON Zarif Ghazzi menyifatkan peluang bekerjasama dan berkongsi pentas dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Tradisional Gema Bumantara sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Zarif meluahkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada persembahan istimewa itu, termasuk menjayakan segmen bersama penyanyi tersohor berkenaan.
Lebih mencuri perhatian, Zarif memainkan peranan mengayuh beca yang membawa Siti mengelilingi stadium ketika penyanyi itu mendendangkan lagu Kurik Kundi, sekali gus menambahkan keunikan persembahan yang meraikan seni dan budaya tradisional Melayu.
Pengalaman itu turut mendapat perhatian Siti yang meninggalkan komen pada perkongsian Zarif dengan merakamkan penghargaan atas kesudian pelakon itu mengayuh beca membawanya sepanjang persembahan.
“Terima kasih banyak-banyak ye Zarif sudi mengayuh beca bawa Kak Siti. Maaf tak sempat nak borak, you did a great job walaupun rehearsal sekali saja,” tulis Siti.
Dalam perkongsian sama, Zarif menyifatkan Kurik Kundi bukan sekadar lagu yang indah dari segi melodi, malah sarat dengan makna tentang bahasa Melayu, budaya dan ketinggian budi masyarakat.
“Bukan sekadar melodi, tetapi sarat dengan makna tentang bahasa Melayu, budaya dan ketinggian budi kita,” katanya.
Tambahnya, karya berkenaan turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai bahasa sendiri kerana bahasa mencerminkan identiti serta asal usul seseorang.
Bagi Zarif, pengalaman berkongsi pentas dengan penyanyi yang dianggap antara permata terhebat Malaysia itu pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Malah, dia turut membayangkan akan berkongsi pengalaman berharga itu dengan anak-anaknya suatu hari nanti.
“Soon, I can tell my kids that their daddy once shared the stage with one of Malaysia’s greatest gems,” tulisnya.
Dalam masa sama, Zarif merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan dan peluang kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada persembahan berkenaan.
Dia menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat dihargai, apatah lagi dapat bersama-sama menghidupkan persembahan istimewa yang mengangkat keindahan seni dan budaya tradisional Melayu.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

PU Riz seru umat Islam bersatu pelihara kesucian agama

‘Ada sebab lagu Pencuri sembilan tahun tersimpan’ - Haiza


