EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Hiburan

“Terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya” - Fikry Ibrahim

Selepas 173 hari menyimpan kisah perpisahan daripada pengetahuan umum, pelakon Fikry Ibrahim akhirnya berkongsi

Deel Anjer24 September 2026 pada 02:42 PGDikemas kini 24 September 2026 pada 02:48 PG
“Terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya” - Fikry Ibrahim

Selepas 173 hari menyimpan kisah perpisahan daripada pengetahuan umum, pelakon Fikry Ibrahim akhirnya berkongsi mengenai rumah tangganya dengan bekas isteri, Siti Khalizah Alihan.

Selepas perkongsian itu baru-baru ini, luahan Fikry memperlihatkan dia sudah lama melalui fasa tersebut secara peribadi sebelum memilih untuk berkongsi dengan peminat.

Fikry berkata, dia sengaja mengambil sedikit masa kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang, selain memerlukan ruang untuk mengumpul kekuatan serta menerima ketentuan Allah.

“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri telah berpisah sejak 173 hari yang lalu.

“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuanNya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas perpisahan yang berlaku.

Menurutnya, ada perjalanan yang Allah izinkan untuk ditempuh bersama sebelum akhirnya membawa mereka ke jalan yang berbeza.

“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” katanya.

Fikry turut mendoakan agar bekas isterinya sentiasa berada dalam lindungan Allah, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

“Saya doakan semoga dia sentiasa dipelihara Allah, dipermudahkan segala urusannya, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.

“Dan saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Meskipun sudah tidak lagi bersama, Fikry mengakui Siti Khalizah tetap mempunyai tempat sebagai seseorang yang pernah dicintai dan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Fikry mendoakan agar Allah menjaga mereka masing-masing, mengampuni segala kekurangan serta menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik.

“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Jitra, Kedah.

Bagaimanapun, beberapa bulan selepas berkahwin, Siti Khalizah dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Fikry di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.

Pada Jun pula Siti Khalizah dilaporkan menarik balik permohonan cerai yang difailkannya

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan