EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Hiburan

'Saya dengan Yusuf memang sudah tidak berhubung'.. Silaturahim dengan keluarga bekas mentua tetap utuh

'Silaturahim itu tetap ada. Malah, emak selalu cakap, semoga ukhuwah kita berkekalan sampai ke Jannah' - Zizi Kirana

Deel Anjer19 September 2026 pada 01:05 PTGDikemas kini 19 September 2026 pada 01:57 PTG
"Saya dengan Yusuf memang sudah tidak berhubung

"Saya dengan Yusuf memang sudah tidak berhubung." - Zizi Kirana

Penyanyi Zizi Kirana mengakui tetap bahagia menjalani kehidupan selepas bercerai dengan bekas suami, pelakon Yusuf Bahrin, malah hubungan baiknya bersama keluarga bekas mentua masih diteruskan sehingga kini.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 41, berkata biarpun dia dan Yusuf sudah tidak lagi berhubung selepas perceraian pada 2 April lalu, hubungan dengan keluarga bekas suami termasuk ibu bapa, adik-beradik dan ibu saudara masih terjalin baik.

"Saya dengan Yusuf memang sudah tidak berhubung. Saya memang terus 'cut' (putuskan hubungan).

"Tetapi dengan keluarganya seperti emak, abah, adik-beradik dan makcik-makciknya, Alhamdulillah, sampai sekarang masih berhubung," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Yang Tinggal di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Zizi, hubungan baik yang sudah terbina sejak dahulu menyebabkan dia tidak melihat sebarang alasan untuk memutuskan silaturahim dengan keluarga bekas suami.

"Emak dan abah dia adalah orang yang sangat baik. Adik-beradik dan adik ipar saya pun baik orangnya. Jadi, saya fikir hubungan itu tidak patut untuk saya putuskan.

"Silaturahim itu tetap ada. Malah, emak selalu cakap, semoga ukhuwah kita berkekalan sampai ke Jannah," katanya.

pelancaran single Yang Tinggal di sebuah hotel di sini, semalam.

Malah, Zizi berkongsi satu momen yang membuatkan dirinya berasa bahagia apabila keluarga bekas mentuanya baru-baru ini berkunjung ke kediamannya dengan membawa pelbagai juadah.

"Baru-baru ini, emak dia datang ziarah saya di rumah bersama adik ipar. Mereka bawa macam-macam makanan seperti asam pedas, kerepek dan lauk.

"Saya fikir, inilah yang orang kata bahagia. Walaupun nampak macam biasa, tetapi perkara seperti ini menyenangkan saya. Saya tidak perlu bermusuh atau apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, Zizi mengakui sosok bapa mentuanya mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya kerana dia tidak pernah mempunyai hubungan rapat dengan bapa sendiri.

"Saya sendiri tidak pernah mempunyai hubungan yang rapat dengan bapa. Jadi, apabila saya dapat seorang abah seperti ini, saya rasa sangat bersyukur.

"Kami pernah pergi umrah bersama pada 2020. Itu adalah momen yang sangat berharga untuk saya simpan sampai bila-bila," katanya.

Zizi dan Yusuf sah bercerai talak satu secara raj'ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam pada 2 April lalu.

Pasangan itu bernikah pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan All Together Now Malaysia.

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan