Cakra Khan tidak gentar hilang tawaran, tetap lantang bela nasib rakyat
Populariti bukan penghalang untuknya menyuarakan keprihatinan terhadap nasib masyarakat


Cakra tidak mahu kedudukannya sebagai anak seni membataskan tanggungjawab untuk menunjukkan empati terhadap kesusahan yang dialami masyarakat.
PENYANYI popular Indonesia, Cakra Khan membuktikan populariti bukan penghalang untuknya menyuarakan keprihatinan terhadap nasib masyarakat, terutama apabila melibatkan isu bencana dan musibah yang menimpa rakyat.
Malah, penyanyi berusia 34 tahun itu mengakui kesediaannya bersuara mengenai isu berkepentingan awam hadir bersama risiko apabila beberapa tawaran persembahannya didakwa dibatalkan penganjur tanpa penjelasan rasmi.
Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman berkata, beliau tidak mahu kedudukannya sebagai anak seni membataskan tanggungjawab untuk menunjukkan empati terhadap kesusahan yang dialami masyarakat.
Menurut pelantun lagu Kekasih Bayangan itu, setiap individu mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan, lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara menyentuh kepentingan serta kebajikan orang ramai.
"Saya akan terus bersuara mengenai perkara umum yang dirasakan perlu demi mempertahankan hak rakyat. Apabila ramai rakyat ditimpa bencana, kita semua harus mempunyai sifat empati, saling membantu dan memberi semangat antara satu sama lain.
"Saya juga rakyat biasa dan punya hak untuk bersuara. Saya tidak akan mengulas hal-hal remeh atau di luar pengetahuan saya, tetapi jika ia membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat, saya tidak akan berdiam diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengakui pendiriannya itu mengundang pelbagai reaksi, Cakra turut mendedahkan dirinya pernah menjadi sasaran kecaman, makian serta ugutan menerusi mesej peribadi di media sosial.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk menarik balik pendirian, malah memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya ada pihak cuba mencemarkan reputasinya melalui tuduhan atau ancaman.
"Saya tidak takut selagi apa yang saya suarakan bukan perkara yang salah dan tidak menyerang mana-mana individu secara peribadi. Niat saya hanya untuk memberi kesedaran dan mahu pihak berkenaan mendengar suara rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Cakra menegaskan dirinya tidak terlalu bimbang sekiranya kelantangannya menyebabkan peluang dalam industri hiburan arus perdana semakin terhad.
Katanya, pengalaman membina kerjaya dari bawah menjadikan beliau lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk kembali membuat persembahan di kafe sekiranya tawaran berskala besar semakin berkurangan.
"Saya bermula betul-betul dari bawah. Dulu saya menyanyi di kafe-kafe sahaja. Jadi kalau selepas ini tiada lagi tawaran besar, saya tidak ada masalah untuk kembali menyanyi di kafe.
"Bagi saya, kemewahan dan populariti hanyalah bonus. Selagi saya masih boleh menyanyi, itu sudah cukup memadai," katanya.
Terdahulu, Cakra pernah menyuarakan kebimbangan mengenai isu jerebu dan pembakaran terbuka yang semakin meruncing sehingga memberi kesan merentasi sempadan negara jiran.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

PU Riz seru umat Islam bersatu pelihara kesucian agama

‘Ada sebab lagu Pencuri sembilan tahun tersimpan’ - Haiza


