Serangan di Riyadh: Tiada laporan rakyat Malaysia terkorban, cedera
Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.

Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh selepas serangan. Media sosial.
TIADA laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera dalam serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, petang semalam.
Perkara itu disahkan Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh.
Pihak kementerian jelas Wisma Putra, sedang memantau rapat situasi susulan laporan mengenai serangan berkenaan.
Ini termasuk laporan mengenai sebuah projektil yang jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam.
"Menurut laporan, serangan di Riyadh telah mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam. Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, mengesahkan bahawa tiada laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera akibat insiden tersebut.
"Walau bagaimanapun, kedutaan sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang dalam perjalanan dan terkandas untuk memberikan bantuan konsular," jelasnya dalam kenyataan.
Wisma Putra menambah, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi kemudiannya mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid.
"Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
"Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang," katanya.
Jelasnya, rakyat Malaysia turut dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


