Bangkai gajah hanyut di Sungai Kinabatangan, ada kesan cedera, gading hilang
Gajah berkenaan dikenal pasti sebagai gajah jantan dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun.

Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan lanjut susulan penemuan bangkai gajah di Sungai Kinabatangan.
PEMERIKSAAN Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah ke atas bangkai gajah yang ditemukan hanyut di Sungai Kinabatangan, Sabah, baru-baru ini mendapati, kedua-dua gading haiwan itu telah hilang selain terdapat beberapa kesan kecederaan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin susulan siasatan lanjut dijalankan jabatan berkenaan.
Haiwan tersebut ditemukan di Sungai Kinabatangan berhampiran Angco Jaya Plantation dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, Rabu lalu.
Jafry berkata, JHL Sabah pada awalnya menerima laporan mengenai seekor gajah yang mati di sungai berhampiran Pontian Plantation.
"Satu pasukan yang terdiri daripada Rapid Response Team (RRT) dan Renjer Kehormat Hidupan Liar dari Sukau kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan menemukan bangkai gajah berkenaan selepas dipercayai hanyut dari lokasi yang dilaporkan pada awalnya.
"Bangkai gajah itu ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera daripada Angco Jaya Plantation bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, gajah berkenaan dikenal pasti sebagai gajah jantan dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun.
Berdasarkan keadaan bangkai jelasnya, ia dianggarkan telah mati kira-kira empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dijalankan.
"Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan dan kedua-dua gading gajah tersebut telah hilang.
"Penemuan ini kini menjadi sebahagian daripada siasatan berterusan Jabatan Hidupan Liar," tegasnya.
Beliau menambah, ketika ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan.
"Kita sedang menunggu keputusan makmal serta hasil lengkap pemeriksaan bedah siasat. Kita tidak mahu membuat spekulasi mengenai keadaan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian.
"Perkara-perkara ini memerlukan siasatan lanjut dan mesti disokong oleh bukti," katanya.
Pihaknya telah mengarahkan JHL Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan berkaitan kehilangan gading.
Kerajaan Negeri katanya, memandang serius kejadian ini dan tindakan sewajarnya akan diambil jika hasil siasatan mendapati terdapat unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang hidupan liar.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


