The Step - Every Story Moves You

352 tapak di Sabah dalam proses pelaksanaan projek JENDELA 2

Kawasan Parlimen Kinabatangan mencatatkan jumlah tapak tertinggi, iaitu 106 tapak, selain Pensiangan (55 tapak), Kota Marudu (36 tapak), Kalabakan (29 tapak), Kudat (26 tapak) dan Tuaran (23 tapak).

TS
Oleh The StepPengarang Berita14 Oktober 2026 pada 12:53 PTG1 min bacaanDikemas kini 14 Oktober 2026 pada 12:54 PTG
Kementerian Komunikasi.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang dalam proses pelaksanaan bagi Kumpulan 1 projek JENDELA 2, yang dijangka bermula pada November ini melibatkan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 352 tapak di Sabah.

Menurut Kementerian Komunikasi, ia bertujuan memperluas liputan internet melalui perkhidmatan selular awam 4G atau gabungan 4G dan 5G, serta jalur lebar satelit berdasarkan pendekatan fit-for-purpose, mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan setempat.

Daripada jumlah tersebut jelasnya, kawasan Parlimen Kinabatangan mencatatkan jumlah tapak tertinggi, iaitu 106 tapak, selain Pensiangan (55 tapak), Kota Marudu (36 tapak), Kalabakan (29 tapak), Kudat (26 tapak) dan Tuaran (23 tapak).

"Ini diikuti Penampang (15 tapak), Ranau (15 tapak), Sipitang (13 tapak), Kimanis (12 tapak), Sepanggar (6 tapak), Papar (5 tapak), Batu Sapi (4 tapak), Beaufort (3 tapak), Tawau (3 tapak) dan Putatan (1 tapak)," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai status semasa inisiatif kabel dasar laut pesisir pantai (SALAM) di negeri Sabah.

Kementerian Komunikasi memberitahu, kerajaan melalui MCMC akan terus menilai keperluan semasa bagi mempertimbangkan peluasan pelaksanaan ke kawasan lain di Sabah termasuk di Parlimen Putatan tertakluk kepada keutamaan dan ketersediaan peruntukan.

Jelasnya, projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh kesalinghubungan rangkaian komunikasi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Projek ini melibatkan pembangunan sistem kabel dasar laut domestik baharu yang berkapasiti tinggi, berdaya tahan serta mempunyai kepelbagaian laluan rangkaian dan keupayaan sandaran bagi memperkukuh ketahanan infrastruktur komunikasi negara.

"MCMC telah menyiarkan dokumen pelawaan bagi pelaksanaan projek SALAM dan kini sedang menjalankan proses penilaian," jelasnya.

Katanya, pelantikan pihak pelaksana disasarkan selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com