The Step - Every Story Moves You

Zukri dilantik jadi Pengerusi baharu BSN ganti Awang Adek

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula dan pemulihan pembiayaan sewaktu Krisis Kewangan Asia.

TS
Oleh The StepPengarang Berita9 Oktober 2026 pada 12:00 PG1 min bacaanDikemas kini 9 Oktober 2026 pada 10:29 PG
Datuk Seri Dr. Zukri Samat

Datuk Seri Dr. Zukri Samat BSN.

BANK Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan peralihan kepimpinan Lembaga Pengarahnya, dengan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi selepas lebih dua tahun berkhidmat.

Menurut BSN, untuk itu Datuk Seri Dr. Zukri Samat telah dilantik sebagai pengganti beliau, berkuat kuasa pada 12 Oktober ini.

Awang Adek dilantik sebagai Pengerusi pada 1 Julai 2024.

Antara detik penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau ialah sambutan Jubli Emas BSN pada 2024, yang menandakan lima dekad BSN berkhidmat buat rakyat Malaysia.

Jelas BSN, di bawah kepimpinan beliau, BSN terus memperkukuh mandat rangkuman kewangannya, di samping memperluas jangkauan perkhidmatan, keupayaan digital dan agenda kelestarian Bank.

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan, Awang Adek telah menerajui BSN dengan penuh dedikasi dan keyakinan, selaras dengan aspirasi bank.

Pandangan strategik beliau katanya, terus memperkukuh tadbir urus, memacu transformasi digital dan memantapkan komitmen BSN bagi memastikan ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan seluruh warga BSN, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti, kepimpinan dan buah fikiran beliau kepada bank.

"Kami mendoakan agar beliau terus berjaya dalam setiap yang diusahakan pada masa hadapan," katanya.

Mengambil alih jawatan Pengerusi, Zukri membawa pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan kewangan, perbankan Islam, pengurusan aset dan institusi awam.

Sebelum ini, beliau telah menamatkan tempoh kepimpinannya selaku Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), dari 1 November 2023 sehingga 31 Oktober 2025.

Antara jawatan terdahulu yang pernah disandang beliau termasuk Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji serta Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula dan pemulihan pembiayaan sewaktu Krisis Kewangan Asia.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com