EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Bisnes

LBS buka pasar raya Mydin pertama di KITA@Cybersouth

Kehadiran Mydin melengkapkan komuniti

The Step14 September 2026 pada 09:17 PGDikemas kini 14 September 2026 pada 11:17 PG
Kehadiran Mydin melengkapkan komuniti

LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah pilihan rakyat terus memperkukuh komponen komersial pembangunan KITA@Cybersouth di Dengkil, menerusi kemasukan MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin) sebagai pasar raya pertama di perbandaran tersebut.

Ia susulan pemeteraian Perjanjian Penyewaan bersama peruncit tempatan berstatus halal  terkenal itu yang menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan berterusan di KITA@Cybersouth di samping memperkukuh ekosistem komersial dan menyokong transformasi sebagai sebuah komuniti dinamik serta saling terhubung.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Datuk Wira Lim Hock Guan, sejajar dengan perkembangan KITA @ Cybersouth, adalah penting untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di dalam perbandaran itu terus berkembang selaras dengan keperluan para penduduk.

“Kehadiran Mydin sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap dan Mydin merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia.

“Sudah tentu kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran Mydin ke KITA @ Cybersouth yang dijangka dapat memenuhi keperluan ehidupan sesebuah kejiranan daripada barangan keperluan dapur dan isi rumah kepada kemudahan membeli-belah serta ruang untuk berkumpul  di samping menyemarakkan lagi aktiviti dan penawaran komersial,” katanya dalam satu kenyataan sempena pemeteraian perjanjian itu.

Hock Guan menandatangani perjanjian berkenaan bersama Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin pada majlis yang diadakan di Galeri Penemuan LBS, KITA @ Cybersouth, baru-baru ini.

Dengan anggaran penduduk seramai kira-kira 67,000 orang, KITA@Cybersouth disokong oleh demografi penduduk dengan majoriti terdiri daripada golongan muda di mana kira-kira 63 peratus pembeli berusia lingkungan 40 tahun ke bawah.

Pembangunannya kini yang dirancang adalah sebanyak kira-kira 16,000 unit dengan sekitar 40 peratus telah siap dibangunkan, manakala lima peratus lagi sedang dalam pembangunan dan baki 55 peratus masih di peringkat perancangan.

Sementara itu, Ameer berkata, kerjasama dengan LBS itu amat bermakna buat Mydin, memandangkan pengalaman pemaju hartanah itu dalam membangunkan komuniti yang kukuh serta kawasan pertumbuhan baharu.

Menurutnya, keputusan untuk membuka Mydin sebagai pasar raya pertama di KITA@Cybersouth turut mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi besar Cybersouth yang sedang berkembang pesat dan menarik semakin ramai penduduk khususnya golongan keluarga muda.

“Kami mahu Mydin menjadi lebih daripada sebuah destinasi membeli belah dan menjadi sebahagian daripada komuniti ini selaras dengan perkembangannya dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa kepada para penduduk,” katanya. - THE STEP

Tentang Penulis

The Step

Pengarang Berita

Berita berkaitan