EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Pengiktirafan MICPA perkukuh nilai graduan Diploma Perakaunan KPTM

Pengiktirafan MICPA memberi nilai tambah

Deel Anjer13 September 2026 pada 07:58 PGDikemas kini 13 September 2026 pada 09:50 PG
Kerjasama strategik antara KPTMSB dan MICPA, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan badan profesional dalam bidang perakaunan.

Pengiktirafan daripada Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) terhadap Program Diploma in Accounting (AA101) di kampus Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membina laluan kerjaya serta melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dalam bidang perakaunan.

Pengiktirafan tersebut diraikan menerusi Majlis Kerjasama Strategik dan Pengiktirafan MICPA bagi Program Diploma in Accounting (AA101) Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) yang berlangsung di Dewan Besar, KPTM Bangi, baru-baru ini.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara KPTMSB dan MICPA, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan badan profesional dalam bidang perakaunan.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen KPTMSB dalam memastikan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, dinamik dan selari dengan keperluan semasa industri.

Pengiktirafan MICPA juga memberikan nilai tambah kepada kelayakan pelajar Diploma in Accounting (AA101), khususnya dalam meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan serta meneruskan pengajian ke peringkat profesional selepas tamat diploma.

Selain manfaat kepada pelajar, kerjasama strategik ini turut membuka ruang kepada peluang kolaborasi yang lebih luas antara KPTMSB dan MICPA, termasuk dalam aspek pembangunan akademik, perkongsian kepakaran serta pengukuhan profesionalisme dalam bidang perakaunan.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen KPTMSB dalam memastikan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan

Mempunyai nilai tambah

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Tuan Haji Radzuan Razali, hubungan rapat dengan badan profesional dan pihak industri merupakan antara elemen penting dalam memastikan pendidikan yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah mempunyai nilai tambah yang relevan dengan dunia pekerjaan.

“Bagi KPTMSB, pendidikan bukan sekadar menyediakan kelayakan akademik, tetapi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pendedahan yang relevan untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

“Kerjasama dengan MICPA ini memperkukuh usaha tersebut dengan memberikan nilai tambah kepada program serta laluan yang lebih jelas kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan.

“Kita mahu graduan KPTM bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai keyakinan untuk melangkah ke peringkat profesional dan bersedia memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah.

“Kerjasama seperti ini menjadi sebahagian daripada ekosistem yang kita bina untuk mencapai aspirasi tersebut,” katanya.

Tingkat kebolehpasaran

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Puan Seri Idawaty Mat Zain, berkata pengiktirafan dan kerjasama strategik berkenaan turut memberi kelebihan kepada pelajar KPTM dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.

Menurut beliau, pelajar perlu memanfaatkan peluang yang disediakan untuk menambah nilai kepada diri mereka sebelum memasuki pasaran pekerjaan, selain mempunyai strategi yang jelas dalam merancang laluan kerjaya selepas tamat pengajian.

“Pelajar KPTM mempunyai peluang untuk menambah nilai kepada diri mereka sebelum memasuki pasaran pekerjaan. Pengiktirafan seperti ini dapat memberikan mereka pendedahan serta membuka lebih banyak peluang untuk merancang strategi kerjaya selepas tamat pengajian.

“Dalam keadaan pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah, graduan perlu mempunyai lebih daripada sekadar kelayakan akademik. Mereka perlu mempunyai kemahiran, pengalaman dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan industri.

“Pada masa sama, perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan atau AI turut mengubah landskap pekerjaan.

“Justeru, penerapan elemen berkaitan AI dalam pendidikan dan pembelajaran adalah penting supaya pelajar bukan sahaja memahami perkembangan teknologi, tetapi turut bersedia menggunakannya secara berkesan apabila memasuki dunia pekerjaan.

“Pendedahan kepada pengalaman sebenar, kemahiran dan perkembangan teknologi inilah yang akan membantu graduan terus berkembang serta meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali,

Peluang ke peringkat ijazah

Idawaty berkata, pelajar KPTM turut mempunyai kelebihan melalui ekosistem pendidikan yang disediakan institusi berkenaan kerana laluan pendidikan mereka tidak terhenti selepas memperoleh diploma.

“Bagi pelajar KPTM, mereka juga mempunyai kelebihan kerana ekosistem pendidikan yang disediakan bukan terhenti pada peringkat diploma sahaja. Mereka mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), sekali gus membolehkan mereka merancang laluan pendidikan dan kerjaya dengan lebih baik,” katanya.

Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd. dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Yahaya Sani serta  Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, Dr. Wan Muhamad Adam  Wan Norudin.

Pengiktirafan tersebut dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam usaha KPTMSB memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang memberi penekanan kepada kualiti akademik, hubungan industri, kebolehpasaran serta pembangunan profesional graduan.

Pada masa sama, pengiktirafan MICPA dijangka meningkatkan keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap Program Diploma in Accounting (AA101), selain menjadi nilai tambah dalam usaha menarik minat lepasan sekolah untuk memilih bidang perakaunan sebagai laluan pendidikan dan kerjaya.

Menawarkan pelbagai bidang

Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) merupakan sebuah institusi pendidikan milik penuh MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA CORP) yang menawarkan 54 program pengajian dari peringkat asasi hingga ke pengajian profesional.

KPTMSB beroperasi di enam cawangan kampus KPTM dan satu yang berstatus universiti iaitu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), yang menawarkan pelbagai bidang pengajian seperti teknologi maklumat, sains komputer, sains kesihatan, sains sosial, perakaunan, pengurusan perniagaan, kejuruteraan, kemanusiaan dan bioindustri.

Sejak 1983, KPTMSB komited dalam memperkasa pendidikan, membangunkan bakat bumiputera serta menyediakan peluang pembelajaran yang mampu milik dan berkualiti. - THE STEP

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan