EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Kemelut bil elektrik: Rakyat terhimpit, PPIM tuntut penjelasan

Jelas PPIM, faktor cuaca yang semakin panas serta masalah jerebu memaksa isi rumah, terutamanya yang mempunyai anak kecil dan warga emas, bergantung kepada penyaman udara dan penapis udara bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Metra Syahril Mohamed16 September 2026 pada 01:10 PTGDikemas kini 16 September 2026 pada 01:12 PTG
PPIM

Persatuan Pengguna Islam MalaysiaPPIM menegaskab lonjakan bil yang berlaku secara mendadak ini adalah sangat tidak adil kepada pengguna.PPIM

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius peningkatan mendadak aduan daripada orang awam berhubung bil elektrik yang melambung tinggi secara luar biasa sejak kebelakangan ini.

Menurut persatuan itu, beban kewangan ini berlaku dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit dan meresahkan rakyat.

Jelasnya, kenaikan Tarif Asas (RP4) bermula 1 Julai 2025 di Semenanjung telah mencatatkan peningkatan sebanyak 14.2% (kepada 45.62 sen/kWh) bagi tempoh kawal selia 2025 hingga 2027.

"Selain itu, Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) diselaraskan secara drastik—seperti menyusut kepada -0.47 sen/kWh menjelang April 2026 berbanding kadar rebat yang lebih tinggi sebelum ini—sekali gus mengurangkan penjimatan subsidi yang dinikmati rakyat.

"Keadaan ini ditambah dengan kekeliruan terhadap mekanisme bil, caj tersembunyi, serta lonjakan penggunaan akibat faktor cuaca dan perkakas tanpa ketelusan akaun yang memuaskan.

"PPIM menegaskan bahawa pengguna bukan sekadar pembayar bil, sebaliknya mempunyai hak untuk mendapat maklumat yang telus, akaun yang adil, serta pembelaan daripada pihak berkuasa," jelasnya dalam kenyataan.

PPIM memberitahu, lonjakan bil yang berlaku secara mendadak ini adalah sangat tidak adil kepada pengguna.

Katanya, walaupun sebahagian rakyat diletakkan di bawah kategori M40 atau T20, pelbagai faktor realiti isi rumah perlu diambil kira dengan lebih empati.

Jelas PPIM, faktor cuaca yang semakin panas serta masalah jerebu memaksa isi rumah, terutamanya yang mempunyai anak kecil dan warga emas, bergantung kepada penyaman udara dan penapis udara bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan hidup.

"Adalah tidak wajar untuk melihat kategori pendapatan ini secara pukul rata tanpa menilai beban sebenar yang ditanggung oleh setiap isi rumah," katanya.

Sehubungan dengan itu, PPIM menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Malaysia untuk segera:

• Menjelaskan secara telus formula pengiraan tarif baharu, komponen caj yang dikenakan, serta pencerahan terhadap lonjakan bil yang membelenggu rakyat;

• Mengkaji semula pendekatan dan keadilan sosial terhadap pengguna M40 dan T20 yang turut terbeban dengan saiz isi rumah yang besar serta keperluan mendesak terhadap alat kawalan iklim dan kesihatan (seperti penyaman udara dan penapis udara) akibat perubahan cuaca;

• Mewujudkan mekanisme bantuan yang lebih prihatin bagi rakyat yang tidak mampu menjelaskan bil secara pukal sekali gus.

"PPIM menggesa kerajaan dan TNB menyediakan kaedah bayaran ansuran yang lebih fleksibel, mudah diakses, serta moratorium atau penangguhan tindakan pemotongan elektrik terhadap pengguna yang sedang berdepan tekanan kewangan akut, agar utiliti asas ini tidak dinafikan daripada hak rakyat.

"Janganlah pihak berwajib dan entiti korporat hanya memfokuskan kepada aspek keuntungan semata-mata, sedangkan rakyat marhaen dan golongan pembayar di bawah terpaksa merana menanggung himpitan kos yang diuar-uarkan sebagai pemulihan ekonomi," katanya.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan