EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Semasa

“Saya tak mahu dia berjuang seorang diri” – Aliyah korbankan masa demi impian Arian’na

Pengorbanan ibu demi impian anak

Deel Anjer12 September 2026 pada 09:53 PGDikemas kini 12 September 2026 pada 10:35 PG
Aliyah bersama anaknya, Arian'na

Aliyah tidak mahu anak mengejar cita-cita seorang diri

BAGI seorang ibu, melihat anak mengejar impian kelihatan mudah, namun di sebalik setiap langkah kejayaan itu ada pengorbanan yang tidak selalu dapat dilihat.

Begitu juga perjalanan Aliyah Alisha Soo, ibu kepada gimnas muda Arian’na Mikayla Falisha Soo, yang sanggup memperuntukkan sebahagian besar masa, tenaga dan komitmennya supaya anaknya tidak melalui perjalanan dalam sukan itu seorang diri.

Menurut Aliyah, pengorbanan paling besar adalah dari segi masa dan komitmen, termasuk mengorbankan masa untuk bercuti, bertemu rakan serta melakukan aktiviti sendiri demi menemani Arian’na.

“Saya mahu berada bersamanya sejak dari awal perjalanan ini supaya dia tidak merasakan bahawa dia perlu melalui hari-hari latihan gimnastiknya seorang diri.

“Saya mahu dia tahu bahawa setiap kali dia berlatih, berusaha dan mengejar impiannya, ibunya juga berada di belakangnya memberikan sokongan,” katanya.

Bagi Aliyah, prinsipnya mudah. Jika anaknya sanggup memberikan komitmen terhadap minat dan impiannya, dia sebagai ibu juga perlu memberikan komitmen yang sama.

Katanya, kejayaan seorang anak bukan hanya tentang apa yang berlaku di atas gelanggang, sebaliknya turut bergantung kepada sistem sokongan yang dibina sejak awal.

Pengorbanan itu turut melibatkan kewangan dan kerjaya apabila Aliyah perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dengan tuntutan pekerjaan.

“Sejak awal Arian’na mula berkecimpung dalam gimnastik, saya sudah berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan memberikan komitmen dari segi masa, kewangan dan juga pengurusan kerjaya.

“Jika dahulu ketika bersama syarikat lama saya sering bekerja pada hujung minggu, sekarang saya cuba memastikan hujung minggu diperuntukkan untuk bersama Arian’na,” katanya.

Bagi Aliyah, kehadiran seorang ibu bukan sekadar menghantar anak ke latihan. Dia mahu melihat sendiri perkembangan Arian’na, memahami apa yang dilaluinya dan berada di sisinya sepanjang proses tersebut.

Malah, segala kos dan pengorbanan itu dilihat sebagai satu pelaburan untuk perkembangan dan masa depan anak, bukan sekadar pencapaian dalam gimnastik tetapi juga dalam membentuk disiplin, keyakinan dan ketahanan dirinya.

Setiap kali melihat Arian’na beraksi di gelanggang, Aliyah mengakui perasaannya bercampur-baur antara gembira, bangga dan sebak.

“Apabila melihatnya berada di atas gelanggang, saya tahu apa yang orang ramai lihat hanyalah beberapa minit persembahan.

“Tetapi sebagai seorang ibu yang mengikutinya dari awal, saya melihat segala yang berlaku di belakang tabir, latihan yang panjang, kepenatan, kesilapan, jatuh dan bangun semula,” katanya.

Justeru, Aliyah tidak hanya melihat keputusan atau pingat yang diraih, sebaliknya lebih tersentuh melihat keberanian, disiplin dan keyakinan anaknya mencuba sesuatu yang mencabar pada usia muda.

Dalam pada itu, naluri sebagai seorang ibu tetap membuatkan Aliyah berasa takut dan risau setiap kali Arian’na melakukan aksi yang mencabar atau berisiko.

Namun, dia mahu anaknya memahami bahawa jatuh, gagal dan kecewa adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi lebih baik.

“Nothing in life is easy. It all starts with a dream, and we work towards that dream,” katanya mengenai prinsip yang sering disampaikan kepada anak-anaknya.

Menurut Aliyah, impian sahaja tidak mencukupi kerana seseorang perlu berusaha, berdisiplin dan belajar untuk bangkit apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan.

Dia juga memastikan anak-anaknya dikelilingi individu positif dan berjaya sebagai sokongan serta contoh yang baik, selain menjaga persekitaran mereka daripada komen negatif yang boleh menjejaskan keyakinan diri.

“Saya mengenali karakter dan keupayaan anak-anak saya. Tanggungjawab saya adalah untuk membimbing, melindungi keyakinan mereka dan memberikan ruang untuk mereka berkembang menjadi versi terbaik diri mereka sendiri,” katanya.

Perjalanan Arian’na dalam dunia gimnastik masih baharu apabila dia mula berkecimpung secara serius dalam sukan itu sekitar penghujung Februari 2026.

Setakat ini, Arian’na sudah menyertai pertandingan pertamanya, Vivace Cup 2026, yang bagi Aliyah merupakan satu pencapaian bermakna kerana memberikan pengalaman sebenar untuk berada di gelanggang dan membina keyakinan sebagai gimnas muda.

Aliyah bagaimanapun tidak mahu terlalu tergesa-gesa mengejar kemenangan atau memberikan tekanan kepada Arian’na pada usia muda.

Sebaliknya, fokusnya kini adalah memastikan anaknya terus menikmati gimnastik, membina asas yang kukuh, berdisiplin dan berkembang secara konsisten.

“Insya-Allah, saya akan melihat kepada beberapa lagi peluang pertandingan menjelang penghujung tahun 2026, bergantung kepada perkembangan dan kesediaannya.

“Bagi saya, perjalanan ini masih panjang dan saya mahu Arian’na menikmatinya satu langkah pada satu masa,” katanya.

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan