EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Semasa

Pertemuan Anwar, Putin: Nilai kemajuan hubungan Malaysia-Russia

"Pada penghujung pertemuan, saya menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Presiden Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia".

Metra Syahril Mohamed12 September 2026 pada 08:30 PGDikemas kini 12 September 2026 pada 10:50 PG
Anwar Ibrahim dan Vladimir Putin mengadakan pertemuan di New Delhi, India.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya bersama Presiden Russia, Vladimir Putin di New Delhi, India menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.

Menurut beliau, pertemuan di New Delhi, India itu berlangsung dalam suasana persahabatan serta memberi ruang menilai kemajuan hubungan Malaysia-Russia.

"Saya membangkitkan keperluan untuk mempercepat usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Russia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Ini bagi merancakkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara," jelasnya.

Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan atas dukungan Russia terhadap kerjasama tenaga bersama Malaysia.

Kedua-dua negara katanya, mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama.

"Bicara kami turut menyentuh soal peningkatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Russia, di samping meneroka usaha untuk menggandakan nilai perdagangan Malaysia-Russia.

"Yang lebih utama, setiap persetujuan yang dicapai mesti segera diterjemahkan kepada pelaksanaan," katanya.

Justeru jelas beliau, Malaysia mencadangkan penubuhan mekanisme khas antara Malaysia dan Russia bagi menyelaras serta mempercepat pelaksanaan semua kesepakatan, dan cadangan itu telah dipersetujui Putin.

"Pada penghujung pertemuan, saya menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Presiden Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia.

"Insya-Allah, lawatan ini kelak akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Russia yang semakin erat, matang dan saling menguntungkan," katanya.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan